Percayalah kepada belia kita

Posted: Jun 28, 2011 in Isu, Sosial

Oleh: Saifuddin Abdullah

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak percaya kepada belia, kerana itu beliau mendengar suara mereka.

Selanjutnya, beliau menterjemahkan suara tersebut menjadi program negara. Contohnya, Skim Rumah Pertamaku, Tabung Belia 1Malaysia, Parlimen Belia, Taman Belia, Portal Belia, Ikon Belia, Sukarelawan Belia dan Mentor Keusahawanan Belia.

Persoalannya ialah, sejauh manakah kita yang terlibat dengan pembangunan belia, termasuk mahasiswa/pelajar, percaya kepada belia?

Kita akan mempercayai belia jika kita menghayati pendekatan “penghakupayaan belia”. Definisi penghakupayaan belia ialah “membolehkan dan mendapatkan belia untuk berfikir dan bertindak atas semua isu (peribadi, keluarga, sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh dirinya dan segala di sekitarnya yang mereka adalah sebahagian daripadanya”.

Ini memerlukan kita untuk membolehkan dan mendapatkan perwakilan belia berpartisipasi dalam struktur dan proses membuat keputusan melibatkan mereka.

Di Malaysia, saya mempopularkan pendekatan ini sejak 1996. Kini, penghakupayaan belia disebut ramai. Tetapi, ramai tidak pasti dengan maknanya yang sebenar. Malah telah timbul kekeliruan terhadap maknanya. Di antara kekeliruan tersebut ialah:

– Memberikan tugasan kerajaan/institusi kepada belia. Ini lambakan.
– Melantik belia sebagai wakil kerajaan/institusi. Ini delegasi.
– Menyerahkan kuasa kerajaan/institusi kepada belia tanpa had atau tanggungjawab. Ini anarki.
– Mengundang belia untuk membantu membuat keputusan kerajaan/institusi. Ini pengurusan partisipatif.
– Kerajaan/institusi menggunakan belia untuk memajukan sesuatu program atau objektif tanpa belia mengetahui tentang apa yang disertainya. Ini manipulasi.
– Belia terlibat tetapi tidak dapat membuat keputusan tentang tujuan, cara atau tahap keterlibatannya itu. Ini tokenisme.
– Belia dilibatkan untuk menjustifikasikan sesuatu program itu adalah program belia. Ini kosmetik.

Sebab itulah penghakupayaan belia yang sebenar perlu difahami. Penghakupayaan belia bukan bermakna memberikan kuasa kepada mereka. Sebaliknya, ia adalah proses menyalurkan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang telah sedia dimilikinya.

Dalam mengamalkan penghakupayaan belia, semua individu dan organisasi yang berkaitan perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dari segi cara berfikir dan berbuat. Struktur dan hierarki yang wujud perlu dinipiskan.

Peranan kerajaan/institusi perlu berubah. Organisasi yang terhakupaya meletakkan sumber manusianya dalam pasukan-pasukan kerja dan tidak lagi mengikut fungsi-fungsi yang rigid. Pasukan-pasukan ini didorong oleh matlamat, bukan oleh arahan; dan ketua tidak lagi mengawas, tetapi mengenalpasti mereka yang mampu menjalankan tugas dan membenarkan mereka menjalankannya mengikut budi bicaranya. Ketua berubah menjadi fasilitator.

Ini tidak bermakna yang peranan kerajaan/institusi akan hilang. Tetapi, cara-cara tradisional yang “dari atas ke bawah”, “memaksa ketaatan”, “mengekalkan conformity” dan “menghukum apabila silap” perlu ditamatkan.

Governans cara lama menggunakan kerajaan/institusi sebagai paksi. Andaiannya ialah belia tidak mampu berfikir untuk dirinya atau negara. Lantas mereka hanya diminta (baca: diarah) untuk sekadar menjadi pengikut dasar dan peserta program semata-mata.

Andaian ini tidak lagi relevan dan konsisten dengan pengalaman kontemporari. Penghakupayaan tidak menggunakan kerajaan/institusi sebagai paksi. Ia mempunyai andaian baru, iaitu belia memiliki kemampuan berfikir untuk dirinya dan negara.

Belia hari ini mempunyai pengalaman yang amat berbeza daripada apa-apa kita pernah alami. Ramai belia mempunyai aspirasi yang telah melampaui apa kita fikirkan.

Justeru, benarkanlah mereka berfikir dan bertindak. Mereka tidak akan merosakkan masa depannya. Jika sesekali mereka tersilap, itu adat belajar. Atau mungkin protes mereka yang tidak percaya pada kita.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s