Ahlul Bait: Siti Fatimah RA Dan Pembantu Rumah

Posted: November 6, 2011 in Agama, Sosial
Tags: , , ,
Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah SAW. Tertitis air matanya, berdukalah baginda.

Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai Siti Khadijah.

Itulah Siti Fatimah RA, wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Saidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Saidina Ali merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.

Namun jauh di sanubari Rasulullah SAW tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya.

Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Ali, “Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia.” (Hadis Riwayat Abu Hurairah)

Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap.

Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya.

Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Saidina Usman Ibnu Affan, dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah SWT.

Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian.

Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan kerja rumah.

Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Saidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur.

“Terima kasih suamiku,” bisik Fatimah pada suaminya.

Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke rumah anaknya.

Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata.

Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu.

Lalu ditanya oleh baginda, “Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu.”

Dalam nada sayu Fatimah berkata, “Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?”

Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu.

Dengan lafaz bismillah, Rasulullah SAW meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu.

Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya.

Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu.

Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah SAW menghentikannya.

Berkata Rasulullah SAW dengan kata-kata yang masyhur, “Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih kesenangan di akhirat untuk keluarga kita.”

Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.

Ayahanda yang penyayang itu terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang lalu berkata, “Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?”

“Tentu sekali ya Rasulullah,” jawab Siti Fatimah kegirangan.

Rasulullah SAW bersabda :

“Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca ‘Subhanallah’ sepuluh kali, Alhamdulillah’ sepuluh kali dan ‘Allahu Akbar’ sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahu Akbar’ ini sebanyak tiga puluh tiga kali.”

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah RA. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah.

Itulah hadiah istimewa dari Allah SWT buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingati-Nya.

Sumber: www.iluvislam.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s