Pandai tidak semestinya cerdik

Posted: Januari 20, 2012 in Isu, Politik
Tags:

PANDAI, cerdik dan cerdik pandai adalah frasa-frasa bahasa Melayu yang menggambarkan sifat seseorang individu. Walaupun ada di antara frasa-frasa ini mempunyai persamaan makna, konotasi maksudnya amat berlainan.

Kenapa saya berkata sedemikian? Terlebih dulu saya ingin menyatakan bahawa pendapat saya ini bukanlah berasaskan kepada penggunaan mana-mana kamus bahasa Melayu yang sedia ada, sebaliknya ia berasaskan kepada pemerhatian umum bagaimana frasa-frasa ini diguna pakai dalam kehidupan seharian.

Kalau kita perhatikan frasa-frasa pandai, cerdik dan cerdik pandai, maka akan timbul pertanyaan di pemikiran kita apakah perbezaan di antara ketiga-tiga frasa ini, tidakkah ia mempunyai maksud yang sama?

Jika ditinjau sekali imbas kita mungkin mengatakan jawapannya ya, tetapi jika kita melihat secara yang lebih teliti penggunaannya maka kita akan mendapati bahawa ketiga-tiga frasa ini membawa maksud yang jauh berbeza.

Siapakah individu yang dimaksudkan dengan seorang yang pandai, cerdik dan cerdik pandai.

Bagaimanakah kita ingin mengklasifikasikannya?

Adakah seorang individu yang pandai secara automatik adalah seorang individu yang cerdik dan adakah pula seorang individu yang cerdik semestinya seorang yang pandai.

Bagaimanakah pula perbezaan antara kedua-duanya dengan seorang yang cerdik pandai?

Mari kita melihat ciri-ciri manusia yang pandai. Kita boleh menyifatkan seseorang yang mempunyai pendidikan tinggi sama ada dia mempunyai diploma, ijazah sarjana muda, sarjana, doktor falsafah dan kelayakan profesional, terdiri daripada mereka yang pandai.

Ini kerana mereka berjaya menamatkan pengajian dengan memenuhi syarat yang diperlukan bagi memperoleh kelayakan berkenaan, berbanding mereka yang tidak mempunyai kelayakan itu tetapi adakah mereka juga secara automatik boleh disifatkan sebagai manusia yang cerdik. Jawapannya tidak.

Marilah kita melihat beberapa situasi apa yang dimaksudkan sebagai seorang manusia yang pandai tetapi tidak semestinya dia seorang yang cerdik.

Dr Theodore Kaczynski, seorang pakar matematik yang diterima memasuki Universiti Harvard ketika berusia 16 tahun dan memperoleh Phd dalam bidang Matematik dari Universiti Michigan adalah seorang yang pandai, tetapi beliau bukanlah seorang yang cerdik.

Ini kerana beliau yang dikenali sebagai Unabomber adalah penjenayah paling dikehendaki di Amerika Syarikat (AS) kerana tindakannya menghantar bom kepada tokoh terpilih di AS disebabkan kebenciannya kepada perkembangan teknologi.

Kegiatan beliau menyebabkan tiga terbunuh dan 29 tercedera dalam tempoh, 18 tahun.

Kita juga dikejutkan baru-baru ini dengan tindakan pihak berkuasa terhadap Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) yang kononnya mempunyai 8,000 pengikut yang diketuai oleh seorang yang tidak tamat pun sekolah menengah.

Beliau yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri berjaya menipu orang ramai, termasuk golongan terpelajar dengan menjual pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pembabitan golongan berpendidikan ini tidaklah begitu menghairankan kita kerana mereka yang pandai juga diketahui terbabit dan terpedaya dengan skim cepat kaya yang berlaku di negara ini satu ketika dulu.

Jika kita mengenal pasti golongan yang pandai, bagaimana pula golongan cerdik.

Adakah mereka yang cerdik ini secara automatik adalah mereka yang pandai. Jawapannya juga tidak. Mereka yang cerdik tidak semestinya seorang yang pandai.

Contoh terdekat ialah usahawan yang berjaya di Malaysia, terutamanya daripada kaum minoriti ada di kalangan mereka tidak pernah menjejak kaki ke institusi pengajian tinggi apatah lagi memiliki ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MEA) dari sekolah-sekolah perniagaan yang tersohor di dunia.

Mereka menjadi usahawan berjaya kerana kecerdikan mereka bersama kerja keras dan usaha yang dilaburkan.

Contoh luar negara yang boleh kita lihat ialah Bill Gates pengasas Microsoft yang tidak menamatkan pengajian di Universiti Harvard, namun hari ini beliau adalah orang terkaya di dunia. Sistem Operasi Windows ciptaannya digunakan oleh majoriti komputer di dunia.

Walaupun majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai kelulusan pengajian tinggi, mereka adalah golongan yang cerdik kerana tahu membezakan yang mana satu intan dan yang mana satu kaca.

Sekarang mari kita mengalih perhatian kepada golongan yang boleh disifatkan sebagai cerdik pandai, iaitu apabila kedua-dua kualiti itu wujud dalam diri seseorang individu.

Sebenarnya, inilah yang kita ingin lahirkan di dalam negara dan masyarakat kita. Kita bukan saja mahu mereka yang pandai dari segi kelayakan kertas, tetapi juga cerdik.

Satu daripada ciri orang yang cerdik pandai ini ialah mereka bukan saja kreatif, inovatif, rajin, dedikasi, malah pandai menggunakan common sense.

Mereka boleh berfikir secara tidak lazim iaitu di luar kotak atau kepompong kelaziman atau pemikiran out of the box.

Apabila golongan ini berhadapan dengan masalah yang seumpama tembok tebal dan apabila mereka memeriksa buku panduan bertindak yang mereka ada, lantas mereka mendapati sama ada kaedah penyelesaian yang diberikan di dalam buku panduan bertindak yang sedia ada tidak berkesan atau tidak mempunyai panduan bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu, maka mereka akan menggunakan kreativiti atau inovasi mereka sendiri yang berasaskan common sense untuk merungkaikan masalah bukannya mengaku kalah.

Begitu juga apabila mereka mendapati bahawa adanya kaedah yang lebih baik bagi menyelesaikan masalah berbanding cara penyelesaian yang diberikan di dalam buku panduan, maka mereka akan menggunakan cara yang lebih baik bukannya terus menggunakan cara yang lapuk semata-mata kerana ia tertera di dalam buku panduan.

Sama ada Malaysia akan melakukan transformasi seterusnya daripada ekonomi brick and mortar kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, ia bergantung kepada kejayaan kita melahirkan golongan cerdik pandai ini.

Kemajuan dan pembangunan bukanlah sesuatu proses yang ada titik akhimya. Ia adalah sesuatu yang bersifat berterusan jika kita bersifat alpa dan bersikap ‘tidak apa’ dan sarnbil lewa maka kita akan ketinggalan di dalam era globalisasi yang amat kompetitif ini.

Bergantunglah kepada kita sama ada mahu melahirkan golongan pandai, cerdik atau cerdik pandai asalkan kita tidak melahirkan golongan bodoh sombong.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s