Arkib untuk Jun, 2011

 

 

SELAIN  menguasai pengetahuan mendalam bidang kepakarannya, seseorang guru juga perlu menguasai pelbagai kemahiran lain dan mempunyai sahsiah terpuji. – Gambar hiasan

 


GURU PERMULAAN  Oleh DR. ISMAIL ZAIN

 

Bahagian 2

DOMAIN pengetahuan: Domain ini merangkumi kepakaran pengetahuan dalam bidang tugas utama pengajaran dan pembelajaran (P&P), kokurikulum, dasar-dasar pendidikan serta peraturan dan pekeliling yang berkaitan dengan perkembangan pendidikan masa kini.

Sebagai seorang guru memang sewajarnya mempunyai pengetahuan yang mendalam terutamanya dalam bidang pengkhususan kepakaran. Walaupun seseorang guru itu hanya mengajar tahap  satu di sekolah rendah tetapi bukan bermakan ilmunya hanya tertumpu dan terhad pada tahap itu sahaja.

Pengetahuan yang luas mampu membuka sudut pandangan murid-murid terutamanya mereka yang berada di luar bandar.  Pemahaman berkaitan dengan dasar-dasar pendidikan serta peraturan dan pekeliling mampu memperkasakan seseorang guru, bertindak pada landasan yang betul dan mampu merealisasikan segala hasrat negara dalam usaha mewujudkan bidang pendidikan yang bertaraf dunia.

Domain kemahiran: Domain ini amat luas yang merangkumi kemahiran mengendalikan proses P&P dan kokurikulum, kemahiran teknologi maklumat, kemahiran berkomunikasi, kemahiran menghasilkan buah fikiran dalam bentuk penyelidikan, penulisan dan kemahiran membimbing murid.

Dari kaca mata murid, kejayaan atau kegagalan seseorang guru ketika mengajar dalam bilik darjah ialah bagaimana dia dapat menyampaikan pengajaran secara mudah, mesra dan menyeronokkan.

Dalam hal ini guru harus mahir dalam pedagogi, memilih kaedah yang sesuai dengan murid, menggunakan bahan pengajaran yang menarik serta mampu menggunakan contoh-contoh yang mudah difahami oleh mereka.  Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan  ilmu itu harus dikongsi bersama.

Untuk itu guru seharusnya mampu menjalankan penyelidikan yang untuk nmenyelesaikan masalah pembelajaran dan perlu diterjemahkan dalam bentuk penulisan sama ada kertas kerja seminar, buku, artikel atau pun melalui kursus-kursus dalaman.

Interaksi antara murid dan guru haruslah telus dan tidak ada benteng yang menghalang mereka untuk berkomunikasi.  Guru perlu meneroka potensi murid dan mencari jalan memperkembangkannya ke arah peningkatan kualti diri mereka.

Tugas ini memerlukan guru berkemahiran dalam proses membimbing murid. Bimbingan yang mesra serta amanah dalam hal keperibadian murid mampu mempengaruhi kepercayaan dan keyakinan murid terhadap seseorang guru.

Domain sahsiah:  Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.  Begitulah peribahasa Melayu yang menunjukkan bagaimana tingkah laku seseorang guru akan menjadi contoh dan ikutan murid.  Dengan erti kata yang lain guru dianggap sebagai contoh dalam penampilan diri dan tindakan.

Komitmen guru dalam melaksanakan tugas, sifat kerjasama serta sifat kreativiti dalam melakukan sesuatu inovasi mampu meningkatkan imej seseorang guru, sekali gus disegani dan akan dihormati murid.

Percayalah kepada belia kita

Posted: Jun 28, 2011 in Isu, Sosial

Oleh: Saifuddin Abdullah

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak percaya kepada belia, kerana itu beliau mendengar suara mereka.

Selanjutnya, beliau menterjemahkan suara tersebut menjadi program negara. Contohnya, Skim Rumah Pertamaku, Tabung Belia 1Malaysia, Parlimen Belia, Taman Belia, Portal Belia, Ikon Belia, Sukarelawan Belia dan Mentor Keusahawanan Belia.

Persoalannya ialah, sejauh manakah kita yang terlibat dengan pembangunan belia, termasuk mahasiswa/pelajar, percaya kepada belia?

Kita akan mempercayai belia jika kita menghayati pendekatan “penghakupayaan belia”. Definisi penghakupayaan belia ialah “membolehkan dan mendapatkan belia untuk berfikir dan bertindak atas semua isu (peribadi, keluarga, sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh dirinya dan segala di sekitarnya yang mereka adalah sebahagian daripadanya”.

Ini memerlukan kita untuk membolehkan dan mendapatkan perwakilan belia berpartisipasi dalam struktur dan proses membuat keputusan melibatkan mereka.

Di Malaysia, saya mempopularkan pendekatan ini sejak 1996. Kini, penghakupayaan belia disebut ramai. Tetapi, ramai tidak pasti dengan maknanya yang sebenar. Malah telah timbul kekeliruan terhadap maknanya. Di antara kekeliruan tersebut ialah:

– Memberikan tugasan kerajaan/institusi kepada belia. Ini lambakan.
– Melantik belia sebagai wakil kerajaan/institusi. Ini delegasi.
– Menyerahkan kuasa kerajaan/institusi kepada belia tanpa had atau tanggungjawab. Ini anarki.
– Mengundang belia untuk membantu membuat keputusan kerajaan/institusi. Ini pengurusan partisipatif.
– Kerajaan/institusi menggunakan belia untuk memajukan sesuatu program atau objektif tanpa belia mengetahui tentang apa yang disertainya. Ini manipulasi.
– Belia terlibat tetapi tidak dapat membuat keputusan tentang tujuan, cara atau tahap keterlibatannya itu. Ini tokenisme.
– Belia dilibatkan untuk menjustifikasikan sesuatu program itu adalah program belia. Ini kosmetik.

Sebab itulah penghakupayaan belia yang sebenar perlu difahami. Penghakupayaan belia bukan bermakna memberikan kuasa kepada mereka. Sebaliknya, ia adalah proses menyalurkan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang telah sedia dimilikinya.

Dalam mengamalkan penghakupayaan belia, semua individu dan organisasi yang berkaitan perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dari segi cara berfikir dan berbuat. Struktur dan hierarki yang wujud perlu dinipiskan.

Peranan kerajaan/institusi perlu berubah. Organisasi yang terhakupaya meletakkan sumber manusianya dalam pasukan-pasukan kerja dan tidak lagi mengikut fungsi-fungsi yang rigid. Pasukan-pasukan ini didorong oleh matlamat, bukan oleh arahan; dan ketua tidak lagi mengawas, tetapi mengenalpasti mereka yang mampu menjalankan tugas dan membenarkan mereka menjalankannya mengikut budi bicaranya. Ketua berubah menjadi fasilitator.

Ini tidak bermakna yang peranan kerajaan/institusi akan hilang. Tetapi, cara-cara tradisional yang “dari atas ke bawah”, “memaksa ketaatan”, “mengekalkan conformity” dan “menghukum apabila silap” perlu ditamatkan.

Governans cara lama menggunakan kerajaan/institusi sebagai paksi. Andaiannya ialah belia tidak mampu berfikir untuk dirinya atau negara. Lantas mereka hanya diminta (baca: diarah) untuk sekadar menjadi pengikut dasar dan peserta program semata-mata.

Andaian ini tidak lagi relevan dan konsisten dengan pengalaman kontemporari. Penghakupayaan tidak menggunakan kerajaan/institusi sebagai paksi. Ia mempunyai andaian baru, iaitu belia memiliki kemampuan berfikir untuk dirinya dan negara.

Belia hari ini mempunyai pengalaman yang amat berbeza daripada apa-apa kita pernah alami. Ramai belia mempunyai aspirasi yang telah melampaui apa kita fikirkan.

Justeru, benarkanlah mereka berfikir dan bertindak. Mereka tidak akan merosakkan masa depannya. Jika sesekali mereka tersilap, itu adat belajar. Atau mungkin protes mereka yang tidak percaya pada kita.

Kompetensi Guru

Posted: Jun 24, 2011 in Isu, Pelajaran

GURU perlu mempunyai kompetensi yang lengkap dan tidak terbatas di dalam bilik darjah sahaja. – Gambar hiasan.


(Bahagain 1)

GURU PERMULAAN Oleh DR. ISMAIL ZAIN

KOMPETENSI membawa maksud “A cluster of related abilities, commitments, knowledge, and skills that enable a person (or an organization) to act effectively in a job or situation.” (http://www.businessdictionary.com/definition/competence.html).

Ia menggambarkan adunan kebolehan, komitmen, pengetahuan dan kemahiran yang membolehkan seseseorang atau sesebuah organisasi menjalankan tugas atau situasi secara efektif.

Dalam hal ini guru harus mempunyai kompetensi yang selengkapkannya bukan hanya untuk tujuan penilaian tetapi yang lebih penting ialah agar kredibiliti profesion keguruan dapat dikekalkan ke peringkat yang maksimum.

Guru harus membuat persiapan diri dalam pelbagai aspek kemahiran dan pengetahuan yang berasaskan “workplace” dan “ job based”.

 Walaupun tugas seorang guru ialah dalam bilik darjah tetapi  penguasaan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai domain harus diberi perhatian kerana ia menjadi nilai tambah bagi memperkukuh serta memperlengkapkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Kompetensi seseorang guru itu harus dimantapkan sepanjang masa melalui pelbagai aktiviti, projek atau program yang diatur sama ada daripada pihak pentadbiran ataupun daripada inisiatif sendiri.

Pelaksanaannya haruslah mencapai tujuan dan sasaran dan bukannya untuk matlamat penilaian semata-mata.  Bagaimanapun penilaian terhadap pelaksanaannya harus juga diberi perhatian untuk penambahbaikan.

Antara domain yang utama yang perlu diberi perhatian untuk memantapkan kompetensi guru ialah domain pengetahuan, kemahiran dan sahsiah.

Manakala elemennya pula merangkumi aspek proses perancangan dan pelaksaaan P&P serta kokurikulum, pengaplikasian dan pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penyelidikan, penerbitan dan penghasilan bahan inovasi serta penglibatan dan sumbangan kepakaran kepada warga dalam dan luar organisasi.

Ruang lingkup seperti yang dinyatakan bertujuan agar para guru dapat memenuhi ciri-ciri personaliti unggul (towering personality) serta mampu menempuh cabaran guru pada abad ke-21 seperti yang dinyatakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Rosmah Mansor, “… 21st century competencies required teachers to move beyond simple content area or knowledge and skills to meet complex demands….”

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Teacher’s Competency – Nurturing the Future Generation di the First International Conference on Total Quality Management in K-12 Education, Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.  (http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/1/10/nation/7765266&sec=nation)

Jalankan tanggungjawabmu dalam memperingati ummah dari kesesatan.

Oleh: Nasrudin Hassan Kesalahan zina dan liwat sabit dengan iqrar [pengakuan] atau melalui saksi-saksi yang memenuhi syarat syaratnya. Iqrar [Pengakuan] Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. (al-Bukhari, kitab al-Hudud): “Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina.” Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain [yakni seperti tidak melayannya], lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau gila?” (selanjutnya…)

Guru adalah Pemimpin Amanah

Posted: Jun 5, 2011 in Agama, Isu, Saya

Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara beberapa jenis pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Profesion perguruan merupakan profesion paling utama di dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi sekarang, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Golongan guru hendaklah memastikan martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati seterusnya dapat merealisasikan Misi Nasional seperti yang digariskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Namun begitu perubahan dasar yang drastik dan kritikal telah memberi tekanan yang amat besar kepada guru-guru diseluruh negara. Sedikit demi sedikit nilai kemanusiaan seorang guru terhakis termasuklah nilai kepimpinan dan matlamat amanah bekerja. (selanjutnya…)

Dari jauh, sayup-sayup kelihatan dua orang manusia sedang bergilir-gilir menunggang seekor unta di tengah-tengah padang pasir yang sangat luas. Arah yang dituju ialah sebuah kota yang baru sahaja dibuka oleh tentera Islam. Pada masa yang sama, di pintu gerbang kota, ribuan manusia sedang menunggu kedatangan seorang pemimpin yang amat disegani. Pada mereka yang belum pernah melihatnya, yang terbayang adalah kedatangan seorang pemimpin dengan bala tentera yang tidak terkira banyaknya. Sebahagian yang lain pula cuba membayangkan kedatangan seorang raja dengan segala kemewahannya. Setiap orang mempunyai andaian yang pelbagai. Tiba-tiba seorang pemuda berteriak memberitahu ketibaan dua orang lelaki dengan seekor unta. Setiap orang tertanya-tanya: “Siapakan gerangannya, ke manakah tujuannya?”. Semakin hampir, semakin jelas bahawa yang datang itu merupakan orang yang ditunggu-tunggu. Sebahagian orang yang pernah melihatnya berteriak: “Amir al-Mukminin telah tiba”. Mereka yang tidak pernah melihatnya terpinga-pinga. Terbukti, anggapan mereka tentang pemimpin ini jauh meleset. (selanjutnya…)